Monday, January 17, 2011

Sekadar Catatan

  Semasa aku masih kecil, semasa aku masih di sekolah rendah kerapkali aku berdoa dan meminta ke hadrat Illahi Yang Maha Pengasih.Aku tidak tahu kenapa itu yang ku pinta daripada-Nya selalu.Malahan,ketika aku di sekolah menengah atas pun aku masih sering memanjatkan doa dengan maksud yang sama.Aku selalu bermohon dengan hati yang begitu luhur,penuh dengan harapan agar ia diperkenankan.
  Aku bermohon agar usiaku dipanjangkan setakat empat puluh tahun sahaja.Aku tidak mahu hidup lebih dari tempoh itu.Aku rela dipanggil kembali ke hadrat-Nya ketika aku masih muda...ketika aku masih belum begitu banyak menanggung dosa...ketika aku belum begitu kerap mengengkari perintah dan larangan-Nya.
  Logiknya,aku tidak mahu kiranya masa tuaku kelak akan turut membebankan mereka yang terpaksa menjagaku, menjaga sakit demamku,hatta perasaanku.
  Aku sedar,dalam usia selewat itu juga seorang lelaki akan mula beralih ke alam yang pelbagai,penuh dengan ranjaubdan tidak kurang pula dengan penyakitnya yang bakal menyusahkan orang lain dengan kerenahnya.Aku rela untuk kembali pada usia itu andainya Dia sudi menerima permohonan yang telah berkali-kali itu.Itu pun sekiranya ia adalah yang terbaik untukku.
  Seandainya ia benar-benar terjadi,aku berharap kepada yang tinggal di dunia yang fana ini agar merelakan pemergianku itu.Jangan ia ditangisi, kelak akan memedihkan rohku yang sedang bersemadi.
  Relakan pemergian ini dan jangan sekali-kali membayangkan yang aku akan kembali dengan rohku.Sesungguhnya , ketika itu kita telahpun di dua alam yang amat berlainan sama sekali.
  Relakan pemergian ini dan andainya sudi dan masih ingat  pada yang baik-baik tentang diriku,hadiahkanlah pahala daripada bacaan ayat-ayat suci dan doakan keampunan daripada Illahi ke atas rohku yang sudah tidak bermaya lagi.
  Relakan pemergian ini dan jangan kiranya memuliakan tempat persemadian jenazahku.Sesungguhnya,aku  tidaj berada di sana lagi,melainkan tulang dan rambutku yang telah tidak memberi apa-apa makna.
  Ketahuilah,aku rela dengan pemergian ini kerana dengannya aku berpeluang untuk segera berada di alam yang penuh damai tanpa sebarang dugaan dan hasutan kepura-puraan.Aku gembira sekali kerana dapat lebih awal kembali menemui tuhan kita semua.Ketahuilah,yang aku tidaklah segembira ini ketika berada di dunia yang penuh dengan pura-pura dan bencana,dunia yang sering melekakan kita hasil daripada ciptaan tangan kita semua.
  Cuma satu yang ingin ku beritahu, bahawa sejak lama aku telah terasa di dalam diriku telah tersimpan satu rahsia,sejenis penyakit yang aku sendiri tidak pasti.Aku takut untuk menemui doktor buat mengesahkannya kerana sesungguhnya aku tidak akan berasa enak berada di klinik dan seterusnya menerima rawatan.
  Aku pun tidak mahu tahu jenisnya kerana aku tidak mahu nanti dipaksa untuk dirawat,sedangkan sepatutnya aku bersyukur dengan setiap pemberian Tuhan yang Maha Esa.lagi pun,peyakit tersebut tidak pula pernah menyusahkan aku,jadi aku rasa lebih elok ia dibiarkan aman di dalam tubuh badanku.
  Seandainya terjadi,aku mohon keampunan daripada semua di atas kenakalan kata-kata, tingkah laku yang tidak menyenangkan yang telah aku hamparkan di depan matamu semua.Mana yang termakan, aku mohon dihalalkan dan mana-mana yang terhutang,ambillah sebarang tinggalanku sebagai imbalnnya.
 Jangan ditangisi pemergian ini kerana sesungguhnya aku gembira sekali dengan kejadian ini.Seandainya kita terdiri daripada kalangan yang baik-baik,maka kita bakal dapat bertemu di akhirat nanti,kalau diizinkan.Aku pun tidak fikir juga kerana ketika itu masing-masing sudah terlalu sibuk dengan hal dan urusan sendiri memuji-memuji kebesaran dan terpukau aoleh keindahan Nur Allah S.W.T yang telah diperlihatkan Nya.
  Dari itu ingatlah kepada harapan Allah S.W.T terhadap kita semua.
   "Tidak kujadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembahKu semata-mata".




Begitu juga dengan pesanan Nabi Allah Ibrahim a.s kepada anak cucunya."Bahawa Allah S.W.T telah memilih Islam sebagai agamamu,oleh itu janganlah kamu mati melainkan sebagai seorang muslim".


Hotel Phoenix,Singapura,
Disember 25

No comments:

Post a Comment